Tuesday, 29 January 2013

Resepi Bisnes Si Ayah


Lama dahulu penulis terbaca satu kisah teladan dan nasihat dari seorang ayah buat bekalan pada anak-anaknya tentang resepi untuk berjaya dalam perniagaan. Ia dikisahkan sebegini...

Ketika sedang sakit tenat, si ayah memanggil dua anak dan isterinya bersama. Si ayah berkata : "Nak, sesudah ayah pergi menghadap Ilahi nanti, janganlah kamu bersedih, ayah tidak tinggalkan kamu kekayaan yang melimpah ruah, tapi ayah rasakan ia cukup untuk kamu dan ibumu. Si ayah menyambung lagi: "Ayah tinggalkan perniagaan ini untuk kamu berdua, dan ingatlah dua (2) perkara sebagai resepi yang ayah selalu gunakan untuk memajukan perniagaan Ayah.   

Pertama : 
"Jika ada orang berhutang pada kamu, janganlah kamu tuntut hutang tersebut, biarlah mereka sendiri yang membayarnya". 

Kedua   :  
"Elaklah kamu dari terdedah pada sinar matahari pagi dan pada waktu petang, sebab ia tidak bagus untuk kamu"

Tidak lama kemudian, si ayah menghembuskan nafas yang terakhir. Kedua-dua anaknya meneruskan perniagaan yang ditinggalkan oleh ayah mereka. Disebabkan sikap si adik sebagai darah muda, si ibu membahagikan perniagaan yang ditinggalkan oleh si ayah kepada kedua anaknya dengan syarat akan dinilai semula prestasi masing-masing pada setiap 3 tahun. Lalu mereka pun menjalankan perniagaan masing-masing.

Tiga (3) tahun pun berlalu, perniagaan si abang bertambah hebat dan berjaya dikembangkan ke beberapa bandar lain di dalam negara. Manakala perniagaan si adik semakin teruk sehingga hampir bankrup. Keadaan ini amat mencemaskan si ibu, lalu mereka bertiga berkumpul untuk membincangkan keadaan tersebut.

Berkata Ibu kepada anak si Adik, "ibu lihat perniagaan kamu semakin teruk berbanding dengan abang kamu, adakah kamu tidak melaksanakan resepi perniagaan yang ditinggalkan oleh arwah ayah dahulu? Si adik menjawab: Sebab itulah saya semakin teruk bu, saya dikelilingi hutang sebab saya tidak dapat menuntut kembali hutang-hutang dari pelanggan saya, lalu terpaksa berhutang pula dengan pemborong. Si ibu bertanya lagi " bagaimana dengan resepi kedua? Si adik menjawab: itu pun satu hal ibu, saya terpaksa berbelanja lebih setiap kali mahu keluar dari rumah atau ke mana sahaja, bimbang cahaya matahari pagi dan petang itu akan membawa mudarat pada perniagaan seperti yang dipesan ayah, lalu saya terpaksa menggaji pemandu, membeli rumah yang ada ruang bawah tanah dan beli ruang pejabat di bangunan-bangunan yang ada tempat laluan dan letak kereta dibawah tanah." 

"Habis bagaimana pula kamu boleh semakin maju dan berjaya dalam perniagaan, adakah kamu melanggar pesan ayah?" tanya Ibu pada si Abang. Jawab si Abang " Bukan begitu ibu dan adik, disebabkan abang mengikut pesan ayah lah yang menyebabkan abang berjaya sebegini". Si Ibu tersenyum dan bertanya lagi "bagaimana begitu, terangkanlah pada adikmu". Jawab si Abang "Ayah berpesan jangan menuntut hutang dari orang yang berhutang, jadi semua urusniaga saya jalankan secara TUNAI - semua pelanggan saya membayar terus dengan tunai - tiada hutang yang dibuat, jadi tidak perlulah saya menuntut hutang" Sambungnya lagi "keduanya, saya keluar sebelum matahari terbit dan balik ke rumah sesudah matahari terbenam - pada permulaannya agak sukar, tetapi lama kelamaan ramai pelanggan saya dan rakan niaga yang seronok berurusan dengan saya kerana prinsip tersebut." Lalu si Ibu berkata : "lihatlah nak, belajarlah kamu dari pesan ayahmu, bergandinglah bahu, bantu membantu sesama kamu - yang tua membantu yang muda, yang muda menghormati yang tua".

Kini si Adik pun faham, kerana selama ini dia sudah tersalah sangka dengan pesan ayahnya. Kerana pengalaman dan pendedahannya dalam perniagaan masih mentah berbanding abangnya, perniagaannya nyaris-nyaris tersungkur. Selepas itu mereka kembali bersatu dalam memajukan perniagaan warisan tersebut.

Begitulah kisahnya. Semoga dapat memberi teladan dan sempadan. Penulis hanya menyampaikan sahaja.

Sekadar Gambar Hiasan




P/s: Pesan penulis pada diri sendiri, supaya tahun 2013 ini lebih berdisiplin, konsisten dan sentiasa 'kaizen' - "never ending improvement".








No comments:

Post a Comment